Oleh Norazlita Mohd. Sies - Utusan Malaysia. 15 Mei 2007
KLANG 14 Mei – Seorang ahli perniagaan yang juga anak kepada seorang Senator dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen berasingan iaitu di Klang dan Petaling Jaya hari ini atas tuduhan di bawah Akta Kastam 1967 kerana memindahkan lapan buah kereta dan menipu kononnya dia boleh membekalkan permit import (AP) kereta.
Di Mahkamah Sesyen di sini, Mohd. Zullaimy Muhammad, 40, dari Medan Idaman, Gombak, Kuala Lumpur didakwa atas lapan pertuduhan yang dikemukakan mengikut Seksyen 133(1)(c) Akta Kastam 1967 yang dibaca bersama Seksyen 139 akta yang sama.
Zullaimy yang ditahan semalam tiba di mahkamah itu kira-kira pukul 9.30 pagi dengan bergari dan dikawal oleh beberapa pegawai kastam. Dia kelihatan tenang sepanjang prosiding itu.
Tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon supaya dibicarakan atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zunaidah Mohd. Idris.
Zullaimy didakwa bersubahat dengan Rusli Othman, 39, seorang ejen penghantaran, menggunakan dokumen yang dipalsukan iaitu Borang Kastam JK69 (lesen import) bagi tujuan memindahkan sebuah kenderaan Toyota Harrier GF-SXU10W dan sebuah Toyota Estima dari Pelabuhan Barat, Klang ke gudang persendirian berlesen milik Timur Raya Auto.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut antara pukul 11.57 pagi 15 Disember 2005 dan pukul 5.36 petang 9 Januari 2006 di Unit Taksiran Kenderaan Import Bersetempat, Kastam Diraja Malaysia, Pelabuhan Klang dekat sini.
Zullaimy juga didakwa melakukan perbuatan yang serupa bagi memindahkan dua buah Toyota Harrier, satu unit Mercedes Benz Kompressor, satu unit BMW Mini Coopers, satu unit kenderaan Toyota MRSTA-ZZW- 30 dari Pelabuhan Klang ke gudang persendirian berlesen GAPEMAL Holding.
Kelima-lima perbuatan itu didakwa dilakukan oleh Zullaimy pada pukul 2.40 petang 13 Januari 2006 di tempat yang sama.
Selain itu, Zullaimy didakwa melakukan perbuatan yang serupa pada pukul 2.08 petang 7 Disember 2005 di tempat yang sama.
Jika disabitkan kesalahan, Seksyen 133(1)(c) Akta Kastam 1967 tersebut memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Zunaidah membenarkan Zullaimy dibebaskan dengan ikat jamin RM150,000 bagi kelapan-lapan pertuduhan serta dua orang penjamin sementara menunggu tarikh perbicaraan mulai 21 hingga 25 Januari 2008.
Beliau juga memerintahkan supaya pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.
Terdahulu, peguam Salim Bashir hadir di mahkamah itu bagi pihak peguam Daud Darus yang mewakili Zullaimy. Beliau memohon supaya jumlah ikat jamin dikurangkan memandangkan tertuduh tidak mempunyai pekerjaan tetap dan akan diikat jamin oleh saudaranya. Dia mempunyai empat orang anak yang masih kecil.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Bahagian Perundangan, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Putrajaya, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Rahman Sebli.
Sejurus pendakwaan selesai, Zullaimy dibawa terus ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya untuk didakwa pula di hadapan Hakim Nurmala Salim.
Di mahkamah itu, dia didakwa menipu Lau King Hui, 53, seorang pengedar kereta, dengan memperdayakan mangsa bahawa dia boleh membekalkan lima permit import (AP) tulen kenderaan bagi membolehkan pengimportan lima unit kenderaan.
Perbuatan tersebut didakwa telah mendorong mangsa menyediakan deposit harga permit kenderaan bernilai RM5,000 sedangkan King Hui tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan oleh tertuduh.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 1 September 2006 di Inter Continental Motors Sdn. Bhd. di Jalan USJ 4/9 G, Off Persiaran Tujuan Subang Jaya dekat sini.
Bagi tuduhan itu, Zullaimy didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Dalam tuduhan kedua pula, dia didakwa menipu King Hui dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai yang dia boleh membekalkan permit import untuk membeli kenderaan daripada Rainbow Enterprise Co. Ltd. di Saitama, Jepun.
Bayaran untuk tiga kenderaan, iaitu dua buah Toyota Harrier dan sebuah Toyota MR-S, adalah sebanyak RM280,411.92.
Dalam tuduhan itu, Zullaimy didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang mengaku tidak bersalah atas kedua-dua tuduhan dibenarkan diikat jamin RM35,000 dengan dua orang penjamin.
Nurmala menetapkan perbicaraan bermula 25 hingga 29 Februari 2008.
Zullaimy yang diwakili peguam Daud Darus membayar ikat jamin bagi kedua-dua kes tersebut.
Tuesday, May 15, 2007
ISU BESAR: SAH --- Mat Ghani(bekas calon UMNO Demit dalam PRU 11) dan Anaknya Raja KLON AP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment