KOTA BHARU, 16 Disember (hrkh) - Mungkin tidak berlaku di tempat lain, namun ianya berlaku di negeri Kelantan, apabila Menteri Besarnya, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, menjadikan kediaman rasminya JKR 10, sebagai tempat perpindahan mangsa banjir. Seramai 265 orang dari 69 keluarga telah bermalam di dewan kediaman rasmi Menteri Besar, yang terletak di Kampung Sireh sejak tiga hari lalu. Rumah rasmi tersebut sudah dua kali dijadikan tempat perpindahan mangsa banjir di mana buat kali pertamanya pada tahun 2004. Mangsa yang kesemuanya tinggal di Kampung Sireh termasuk sekeluarga dari masyarakat Cina bersyukur kerana diberi peluang berada di situ. Rata-rata mangsa banjir ditemui melahirkan rasa seronok berada di situ sehingga dapat melupai masaalah yang berlaku pada mereka. Kaum Cina dilayan baik Seorang warga Cina, Kang King Liean, ketika ditemui melahirkan rasa seronok ditempatkan di situ. Katanya, walaupun hanya beliau bersama ibu serta anaknya Robert Lim, yang berbangsa Cina, namun mangsa yang lain melayan keluarganya begitu baik sekali. “Saya tidak menghadapi sebarang masaalah di sini, mereka yang senasib dengan saya, semuanya baik dan tidak ada masalah langsung. “Apa yang mereka makan, itulah yang saya makan,” ujarnya dengan gembira ketika ditemui di tempat perpindahan banjir itu. Liean memberitahu, sebelum ini beliau menumpang rumah saudaranya di Kota Bharu, namun sekarang beliau tidak ingin lagi menyusahkan saudaranya. “Bagus Menteri Besar kita, bagi peluang pada kita untuk tinggal di sini,” ujarnya. Sementara itu Mohd Hanif Aiman Che Loh, 16, memberitahu sejak beliau tinggal di situ dua hari lalu, tidak kurang dua kali Anggota Dewan Undangan Negeri (Dun) Bunut Payong, Dato’ Takiyuddin Hassan, menjenguk mereka. Menurutnya, Takiyuddin hanya akan pulang ke rumah pada pukul 2.00 atau 3.00 pagi setelah menguruskan keperluan mangsa banjir di sini. “Sebelum ni keluarga kami lima orang kesemuanya menumpang di rumah kakak di Kota Bharu, tetapi untuk tahun ni, kami nak beralih angina menumpang di sini,” ujarnya. Hanif memberitahu, sewaktu anggota penyelamat ke rumahnya untuk menyelamatkan keluarganya, paras air di atas rumahnya sudah mencecah ke paras betis. Terima kasih ‘Tok Guru’ Siti Apuan Yusof, 59, mengakui beliau tidak begitu penat menghadapi musim banjir sejak 10 tahun kebelakangan ini kerana ianya jarang berlaku berbanding sebelum ini. Menurutnya, dua tahun lalu iaitu pada tahun 2006 dan 2005, beliau tidak perlu berpindah kerana banjir tidak berlaku di negeri ini. “Kalau adapun mungkin di sebelah Hulu Kelantan seperti di Gua Musang, tetapi kami di sini alhamdulillah, tidak berlaku setiap tahun,” ujarnya. Beliau yang turut berpindah bersama 17 orang anggota keluarga termasuk cucu-cucunya mengakui tidak menghadapi masaalah berada di situ. “Terima kasih banyaklah pada tok guru (Nik Aziz) beri peluang pada kami untuk menginap sementara di sini,” ujarnya. Sementara itu, Samiah Ahmad, 46, turut mengakui banjir di Kelantan sudah berkurangan berbanding sebelum ini. “Saya ingat sewaktu kecil dulu tiap-tiap tahun, wajib berpindah bila saja tiba musim tengkujuh, tak tahulah, mungkin kerana keberkatan agaknya, alhamdulillah,” ujarnya lagi yang berpindah bersama tujuh orang anggota keluarganya yang lain./wann |
Tuesday, December 18, 2007
MB Kelantan jadikan kediaman rasmi tempat perpindahan mangsa banjir
Di tulis oleh MTD Demit pada 5:26 PM
Labels: Berita Semasa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment