Tuesday, March 11, 2008

Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat Angkat Sumpah MB Kelantan, 3 Muka Baru Exco Kelantan

Kubang Kerian, 11 Mac - Tuan Guru Dato' Hj. Nik Abd Aziz Nik Mat malam ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan di Istana Negeri Kubang Kerian.

Turut mengangkat sumpah bagi jawatan exco Kelantan ialah ADUN Salor, Dato' Hj Husam Musa, ADUN Bunut Payong, Dato' Takiyuddin Hassan, ADUN Kemahang, Mej (B) Md Anizam Abd Rahman, ADUN Panchor, Nik Mohamad Amar b. Nik Abdullah, ADUN Kota Lama, Dato' Anuar Tan Abdullah, ADUN Bukit Panau Abd Fatah Mahmood.

Sementara, ADUN Pasir Pekan Ustaz Ahmad Yakob kekal sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan.

PAS terus menguasai Kelantan buat penggal kelima berturut-turut setelah ia bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi 39 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum minggu lepas.

PAS mencatatkan kebangkitan mengejutkan dengan pencapaian jauh lebih baik berbanding pilihan raya umum lalu apabila memperolehi 38 daripada 40 kerusi yang ditandingi manakala PKR memenangi satu daripada lima kerusi yang ditandingi.

Bagi kerusi Parlimen pula PAS menguasai sembilan kerusi, PKR (3) manakala BN hanya 2 kerusi.

3 muka baru yang mengangkat sumpah malam ini ialah wakil muslimat PAS iaitu ADUN Kijang, Wan Ubaidah Omar, ADUN Wakaf Bharu, Che Abdullah b. Mat Nawi dan ADUN Temangan, Dr Fazli b. Dato' Hassan.

Che Abdullah Mat Nawi, 48 tahun dan Wan Ubaidah Omar, 52 tahun masing-masing berkelulusan MBA USA, sementara Dr Fazli, 40 tahun berkelulusan Undang-Undang dari UIAM dan memperolehi PHD dari Universiti Birmingham.

Portfolio bagi semua exco yang dilantik akan diumumkan oleh Menteri Besar dalam jangka masa terdekat.

Tuan Guru Nik Aziz dilahirkan pada tahun 1931 di Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan, pernah melanjutkan pelajaran dalam bidang Syariah di Universiti al-Azhar di Mesir, dan mempunyai lima anak lelaki serta lima anak perempuan.



No comments: